بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah S.A.W. telah menyoal iblis tentang puasa, sabda Nabi SAW maksudnya :
"Wahai iblis! apabila ummat-ku berpuasa dengan nama Allah apakah rasa engkau?"
Maka berkata iblis ;
"Ya Nabi Allah, inilah satu bencana yang amat besar bahayanya kepada hamba, kerana apabila masuknya bulan Ramadan, maka akan memancarlah cahaya dari Arasy dan kursi, dan semua malaikat akan menyambut dengan kesukaan. Bagi mereka-mereka yang berpuasa akan mendapat sebesar-besar kurnia Allah SWT. dan Allah SWT. akan mengampuni segala dosa yang telah lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar dan tidak ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa, yang menghancurkan lagi hati hamba ialah segala isi langit, bulan,bintang, malaikat,burung-burung, ikan-ikan di laut,juga tiap-tiap yang bernyawa diatas muka bumi ini semuanya akan mendoakan siang dan malam meminta ampun bagi orang yang berpuasa.
Satu lagi ketinggian dan kemuliaan bagi orang yang berpuasa ialah dimerdekakan oleh Allah SWT. tiap-tiap hari dalam bulan Ramadan seribu kemerdekaan dari azab neraka dan ditutupkan segala pintu neraka serta dibukakan semua pintu syurga yang lapan.
Dan bertiupnya angin dibawah Arasy yang bernama angin Syirah. Angin yang sangat lembut melalui kedalam syurga, maka pada hari bermulanya ummat tuan hamba berpuasa itu, akan datang malaikat dengan garangnya tiada terbilang lawan lakunya menangkap hamba dengan perintah Allah SWT. berserta dengan segala bala tentera hamba yang terdiri dari jin, syaitan, dan ifrit, lalu dipasang kaki dan tangan dengan besi panas serta dirantai hamba sekalian dimasukkan kebawah bumi yang amat dalam dengan beberapa azab sengsara, maka hamba terpaksa menunggu sehingga selesai ummat tuan hamba dari berpuasa dan selepas itulah baharu hamba dilepaskan supaya hamba tidak mengacau mereka itu dan ummat tuan hamba sendiri yang telah merasa kesenangan berpuasa.Sebagaimana mereka bekerja untuk makan sahur waktu tengah malam seorang diri tanpa takut seperti malam-malam yang lain"
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan dailog di atas, iblis, syaitan dan jin kafir yang menjadi bala tentera iblis telah di rantai dibulan Ramadan tetapi kenapa pada bulan ini masih ada orang Islam yang tidak berpuasa dan melakukan maksiat? Kenapa amalan-amalan dosa masih dilakukan oleh manusia seperti tidak berpuasa, main judi, masih membuka aurat, masih melakukan penipuan, cepat marah, ambil rasuah dan membuat berita-berita fitnah?
Walaupun iblis dan kuncu-kuncunya telah diikat (secara fizikal) tetapi kesan daripada amalan syaitan yang menguasai hawa nafsu manusia masih bebas tidak diikat, maka hasil daripada kebiasaan (buruk) yang melekat di hati manusia inilah yang mendorong untuk manusia meneruskan melakukan dosa dan maksiat.
Hasil daripada hasutan, bisikan, pujikan, dorongan iblis dan syaitan selama 11 bulan, kepada hati manusia hingga mendorongnya melakukan dosa dan maksiat (menjadi kebiasaan dan bersarang dihati) maka hati manusia telah menjadi hitam , keras, berkarat dan berpenyakit. Walaupun pendorongnya tidak ada tetapi kesan itu masih ada dan berlakulah amalan maksiat ynag berterusan.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: 'Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka'. Surah Al-Mutoffifin ayat 14." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu'man bin Basyir)
Oleh itu jauhilah segala bentuk dosa-dosa samaada kecil atau besar supaya hati kita sentiasa bersih dan sejahtera daripada segala syirik. nifak dan sifat mazmumah.
Marilah sama-sama kita menjalani ibadah puasa dengan hati yang ikhlas dan berpuasa semata-mata kerana Allah SWT dengan azam untuk menjadi mukmin yang bertakwa. Inilah masanya untuk kita bersihkan hati kita daripada segala selaput dosa yang bersarang di hati dan meningkatkan iman dan takwa dan menjaga perhubungan hati kita dengan Allah SWT setiap masa dan ketika.
Semoga Allah menerima ibadat kita semua... InsyaAllah...
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
0 ulasan:
Catat Ulasan