Khamis, 31 Januari 2013

BENARKAh SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI SUAMI???

SOALAN:

KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?

Jawapan:

Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.

Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.

Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)

Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.

2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.

3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.

4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.

5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.

6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:

1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.

Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".

Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 21 Januari 2013

SALAM MAULIDUR RASUL: SELAWAT ATAS RASULULLAH SAW.


Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW juga bermaksud memperbesarkan, mengagungkan, menambahkan kehormatan dan kepujian serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur sebagai penyampai utusan-Nya yang menjadi rahmat seluruh alam, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda;  "Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku."


Mengucap Salam Kepada Nabi

Salam pula bererti damai, sejahtera, aman sentosa dan selamat. Jadi ketika seseorang muslim membaca selawat untuk Nabi, bermaksud ia mendoakan Baginda SAW semoga tetap damai, sejahtera, aman sentosa dan selalu mendapatkan keselamatan.

a. Allah SWT memberi salam kepada setiap orang yang memberi salam kepada Nabi SAW.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Saya berjumpa Jibril, maka dia berkata: 'Sesungguhnya saya memberi khabar gembira kepadamu bahwa sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman:'Sesiapa memberi salam kepadamu, maka Aku memberi salam kepadanya dan sesiapa membaca selawat untukmu, maka Aku membaca selawat untuknya '."

b. Mengucap salam kepada Nabi SAW, lebih utama daripada memerdekakan budak.

Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata: "Membaca selawat untuk Nabi itu boleh menghapuskan dosa-dosa, seperti air sejuk memadamkan api, dan salam kepada Nabi itu lebih utama daripada memerdekakan budak". Nabi SAW., Bersabda: "Sesiapa membaca selawat untuk ku satu kali, maka dia menjadi tidak berdosa walaupun sebesar atom dan biji sawi."

c. Sesiapa yang membaca salam untuk Nabi 100 kali setiap hari, akan dikabulkan oleh Allah 100 hajat. 30 diberikan di dunia dan 70 diberikan di akhirat.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala mempunyai tujuh puluh malaikat yang selalu berjalan di muka bumi serta menyampaikan kepadaku salam dari umatku. Maka, apabila ada seseorang dari umatku membaca selawat untukku seratus kali dalam sehari, maka Allah Ta'ala akan akan mengabulkan seratus macam hajatnya, tujuh puluh diberikan diakhirat dan tiga puluh di dunia."


Keutamaan dan Kebesaran Selawat

Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi atau mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bukti seseorang itu berbuat demikian ialah dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan keistimewaan bagi mendapatkan pertolongan dan perlindungan dari Nabi Muhammad SAW serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.

"Sesiapa yang berselawat kepadaku (Muhammad SAW) satu kali saja, maka aku akan berselawat kepadanya sepuluh kali"


Hukum berselawat

Hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib ketika:

1.  Mengerjakan solat.

2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).

3.  Membaca Tasyahud kedua / tahiyyat akhir.

4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

 

Arahan Membaca Selawat

Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu lebih utama.

.

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi(1). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya(2)."  (Surah Al-Ahzab: 56).

Nota; (1) Berselawat ertinya: kalau dari Allah bererti memberi rahmat: dari malaikat bererti meminta keampunan dan kalau dari orang-orang yang beriman bererti berdoa supaya diberi rahmat seperti dengan perkataan: Allahuma shalli ala Muhammad. (2) dengan mengucapkan perkataan seperti: Assalamu'alaika ayyuhan nabi ertinya: semoga keselamatan tercurah kepadamu hai Nabi.


Membaca Selawat

Lafaznya selawat ke atas Nabi SAW, cukup mudah, tidak mengambil masa yang panjang. Sebagai tanda kasihnya Allah kepada umatnya supaya mampu mengerjakan amal mulia dan memperoleh ganjaran daripadanya.

1. Membaca Selawat harus disertai dengan niat dan dengan sikap hormat kepada Nabi. Orang yang membaca selawat untuk Nabi hendaklah disertai dengan niat dan rasa cinta kepada Nabi dengan tujuan untuk memuliakan dan menghormati Baginda.

Dalam penjelasan hadis (akhbar al-hadis) disebutkan bahawa apabila seseorang membaca selawat tidak disertai dengan niat dan perasaan hormat kepada Nabi, maka timbangannya tidak lebih, hanya berat sekadar sehelai bulu sayap.

Rasulullah SAW bersabda"Sesungguhnya sahnya amal itu tergantung niatnya".


Ada tiga perkara yang timbangannya tidak lebih berat dari pada selembar bulu sayap, iaitu:

  1. Solat yang tidak disertai dengan tunduk dan khusyuk.
  2. Zikir dengan tidak sedar. Allah SWT tidak akan menerima amal orang yang hatinya tidak sedar.
  3. Membaca Selawat untuk Nabi Muhammad SAW tidak disertai dengan niat dan rasa hormat.

Rasulullah SAW bersabda: "Dan kalau kamu membaca selawat, maka bacalah dengan penuh penghormatan untuk ku."


2. Membaca selawat bertujuan untuk mencintai dan memuliakan Rasulullah SAW. Siti Aisyah ra. berkata: "Sesiapa cinta kepada Allah Taala, maka dia banyak menyebutnya dan hasilnya ialah Allah akan mengingati dia, juga memberi rahmat dan keampunan kepadanya, serta memasukkannya ke syurga bersama para Nabi dan para wali. Dan Allah memberi kehormatan juga kepadanya dengan melihat keindahan-Nya. Dan sesiapa cinta kepada Rasulullah SAW maka hendaklah ia banyak membaca selawat untuk Nabi SAW, dan hasilnya ialah ia akan mendapat syafaat dan akan bersama Rasulullah SAW di syurga."


Seterusnya Rasulullah SAW bersabda"Sesiapa membaca selawat untukku kerana memuliakan, maka Allah Ta'ala menciptakan dari kalimat (selawat) itu satu malaikat yang mempunyai dua sayap, yang satu di timur dan satu lagi di barat. Sedangkan kedua-dua kakinya di bawah bumi sedangkan lehernya memanjang sampai ke Arasy. Allah Ta'ala berfirman kepadanya: "Bacalah selawat untuk hamba-Ku, sebagaimana dia telah membaca selawat untuk Nabi-Ku. Maka Malaikat pun membaca selawat untuknya sampai hari kiamat."


Cara Membaca Selawat

Disunatkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW:

  1. Menggunakan kata-kata beradab dan sopan,
  2. Menzahirkan sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW, keagungan darjat, kehormatan dan kebaikkan budi serta jasa Rasulullah SAW.
  3. Paling afdal, berselawat seperti ketika tahiyyat dalam solat.

اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد


Ya Allah! Berilah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau telah member shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di dalam alam semesta ini hanya Dikau sahajalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia!


Jenis-Jenis Selawat

Terdapat berbagai jenis selawat susunan para ulama dan antara lafaz selawat yang baik diamalkan adalah:

1)     Selawat Ibrahimiyah.

2)     Selawat Tafrijiyah.

3)     Selawat Munjiyah

4)     Selawat Ummi

5)     Selawat Fatih

6)     Selawat Syifa'.

7)     Selawat Syafaat.

8)     Selawat Badriyah

9)     Selawat kebajikan.

10)   Selawat menolak kecelakaan.

11)   Selawat untuk Nabi SAW dan keluarganya.


Bencana Tidak Berselawat

Mereka yang tidak berselawat adalah orang yang paling kedekut dan akan;

  1. Dijauhkan dari rahmat Allah.
  2. Mendapat kehinaan yang memalukan.
  3. Setiasa mengalami kerugian dan penyesalan.
  4. Termasuk kalangan yang mendapat kesusahan.
  5. Mengalami kebingungan di hari kiamat.
  6. Mengalami kesukaran di Padang Mahsyar.
  7. Menjadi ahli neraka.

Nabi Muhammad SAW. Bersabda;  "Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku."


Waktu Afdal Berselawat

Masa paling afdal dituntut berselawat

  1. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
  2. Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
  3. Sesudah tasyahud wuduk, sebelum membaca doa.
  4. Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
  5. Di akhir qunut dalam solat.
  6. Di dalam solat jenazah.
  7. Di antara takbir solat hari raya.
  8. Ketika masuk dan keluar dari masjid.
  9. Setiap waktu pagi dan petang.
  10. Hari Khamis malam Jumaat,
  11. Sepanjang hari Jumaat,
  12. Ketika telinga berdesing.
  13. Ketika terlupa sesuatu perkara.
  14. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan.
  15. Ketika memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting.
  16. Masa menghadiri  tempat perhimpunan yang baik.
  17. Waktu meninggalkan sesuatu majlis.
  18. Ketika berziarah di makam Rasulullah SAW.


Fadilat Berselawat

  1. Allah limpahkan rahmat berkali ganda.
  2. Allah menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
  3. Menghilangkan kesusahan dan meluaskan rezeki.
  4. Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
  5. Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.
  6. Terselamat daripada keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat.
  7. Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langt.
  8. Memperolehi doa malaikat selama sedang berselawat.
  9. Beroleh syafaat yang khusus daripada Rasulullah SAW pada hari akhirat.
  10. Dapat sentiasa berada bersama Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak.
  11. Jaminan terpelihara dan terselamat dari segala perkara yang mendukacitakan dan membimbangkan di dunia dan akhirat.
  12. Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar.
  13. Meneguhkan tapak kaki ketika melalui Titian Siratul Mustaqim.


Keberkatan Dan Kelebihan Berselawat

1.   Para Malaikat berjanji,  sesiapa yang membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap hari sebanyak 10 kali:

 Jibril akan membimbing tangan bawa melintasi titian seperti kilat menyambar.

 Mikail akan memberi minum dari telaga Rasulullah SAW.

 Israfil akan sujud kepada Allah dan tidak akan mengangkat kepalanya sehingga Allah mengampuni orang itu.

 Malaikat Izrail akan mencabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti mencabut roh nabi-nabi bila mati kelak.


2.   Dalam beberapa hadis, sabda Rasulullah SAW:

a.  Sesiapa membaca selawat untukku sekali saja dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi 10 rahmat kepadanya serta diangkat ke 10 tingkat dan diampunkan 10 dosa.

b.  Sesiapa berselawat 11 kali setiap lepas solat fardu, segala dosa kecilnya diampuni Allah serta tenteram hati dan jiwanya.

c.  Sesiapa membaca selawat kepadaku 100 kali sehari, maka Allah akan menyampaikan 100 hajatnya iaitu 70 hajat akhirat dan 30  lagi hajat dunia.

d.  Sesiapa berselawat ke atasku pada Jumaat sebanyak 80 kali, diampunkan baginya dosa selama 80 tahun.

Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkanlah amalan berselawat ke atasku kerana selawat kamu itu disampaikan terus kepada ku."


3. Antara hadis-hadis lain yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah SAW ialah:

  1. "Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. " (Riwayat Tabrani).


  1. "Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya."  (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

 

  1. "Sesiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan sesiapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid." [Riwayat At-tabrani].

 

  1. " Sesiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku, maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya." (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).

 

  1. "Sesungguhnya orang yang dekat kepadaku daripada kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat aku berada ialah orang yang lebih banyak berselawat kepadaku di dunia."


Hikmah Berselawat ke atas Rasulullah SAW

  1. Berasa lebih mencintai Rasulullah SAW.
  2. Menjadi zakat dan pembersih diri.
  3. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT.
  4. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah.
  5. Para malaikat memberi jaminan keistimewaan masing-masing.
  6. Ganjaran yang diberikan bukan saja di dunia, malah di akhirat.
  7. Menyedari betapa besarnya pahala orang yang berdoa dan berselawat ke atas Nabi.
  8. Sebagai mengenang semula budi dan jasa baik Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berusaha mengajak manusia ke arah kebaikan, walaupun Baginda SAW sudah wafat.


Rasulullah SAW bersabda: "Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafaku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan 'Alhamdulillah', dan apa saja amal kamu yang jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu."  (Riwayat Ibni Mas'ud)


Bayangkanlah betapa beruntungnya orang yang mendapat ucapan salawat dan begitu banyak manfaat daripada Allah Subhanahu Wataala disebabkan amalan bersalawat kepada Rasulullah SAW


Sent from my iPad

Selasa, 15 Januari 2013

Sifu Wong Fei Hung Adalah Ulama Hebat.




Wong Fei Hung (Faisal Hussein Wong) ternyata muslim dan ia adalah ulama yang jaguh kungfu dan juga seorang tabib.Selama ini kita hanya mengenal Wong Fei Hung sebagai jaguh Kung fu dalam filem Once Upon A Time in China. Dalam filem itu, watak Wong Fei Hung dimainkan oleh pelakon terkenal Hong Kong, Jet Li.Namun siapakah sebenarnya Wong Fei Hung?Wong Fei Hung adalah seorang Ulama, ahli Perubatan, dan ahli bela diri legenda yang namanya ditetapkan sebagai Pahlawan Nasional China oleh pemerintah China. Namun kerajaan China sering berupaya mengaburkan identiti Wong Fei Hung sebagai seorang muslim demi menjaga imej kekuasaan Komunis di China.


Wong Fei-Hung dilahirkan pada tahun 1847 di Kwantung (Guandong) dari keluarga muslim yang taat. Nama Fei pada Wong Fei Hung merupakan dialek Canton untuk menyebut nama Arab, Fais. Sementara Nama Hung juga merupakan dialek Kanton untuk menyebut nama Arab, Hussein. Jadi, bila dibahasa arab-kan, namanya ialah Faisal Hussein Wong.

Ayahnya, Wong Kay-Ying adalah seorang Ulama, dan tabib ahli ilmu perubatan tradisional, serta ahli bela diri tradisional Tiongkok (wushu / kungfu). Ayahnya memiliki sebuah klinik perubatan bernama Po Chi Lam di Canton (ibukota Guandong). Wong Kay-Ying merupakan seorang ulama yang menguasai ilmu wushu peringkat tertinggi. Ketinggian ilmu bela diri Wong Kay-Ying membuatnya dikenal sebagai salah satu dari Sepuluh Harimau Kwantung. Kedudukan Harimau Kwantung ini di kemudian hari diwariskannya kepada Wong Fei Hung.

Kombinasi antara pengetahuan ilmu perubatan tradisional dan teknik bela diri serta ditunjang oleh keluhuran budi pekerti sebagai Muslim membuat keluarga Wong sering turun tangan membantu orang-orang lemah dan tertindas pada masa itu. Kerana itulah masyarakat Kwantung sangat menghormati dan mengidolakan Keluarga Wong.

Pesakit klinik keluarga Wong yang meminta bantuan perubatan umumnya berasal dari kalangan miskin yang tidak mampu membayar kos perubatan. Walau begitu, Keluarga Wong tetap membantu setiap pesakit yang datang dengan sungguh-sungguh. Keluarga Wong tidak pernah pandang bulu dalam membantu, tanpa mempedulikan suku, ras, agama, semua dibantu tanpa pilih kasih.

Secara rahsia, keluarga Wong terlibat aktif dalam gerakan bawah tanah melawan pemerintahan Kerajaan Ch'in yang rasuah dan penindas. Kerajaan Ch'in ialah Kerajaan yang merobohkan kekuasaan Kerajaan Yuan yang memerintah sebelumnya. Kerajaan Yuan ini dikenali sebagai satu-satunya Kerajaan Kaisar Cina yang anggota keluarganya banyak yang memeluk agama Islam.

Wong Fei-Hung mulai mengasah bakat pertahankan diri sejak berguru kepada Luk Ah-Choi yang juga pernah menjadi guru ayahnya. Luk Ah-Choi inilah yang kemudian mengajarnya dasar-dasar jurus Hung Gar yang membuat Fei Hung berjaya melahirkan Jurus Tendangan Tanpa Bayangan yang menjadi lagenda. Dasar-dasar jurus Hung Gar ditemukan, dikembangkan dan merupakan handalan dari Hung Hei-Kwun, abang seperguruan Luk Ah-Choi. Hung Hei-Kwun adalah seorang pendekar Shaolin yang terlepas dari peristiwa pembakaran dan pembunuhan oleh pemerintahan Kerajaan Ch'in pada 1734.

Hung Hei-Kwun ini adalah pemimpin pemberontakan bersejarah yang hampir mengalahkan Kerajaan penjajah Ch'in yang datang dari Manchuria (sekarang kita mengenalnya sebagai Korea). Jika saja pemerintah Ch'in tidak meminta bantuan pasukan-pasukan bersenjata bangsa asing (Rusia, England, Jepun), pemberontakan pimpinan Hung Hei-Kwun itu nescaya akan berjaya menghalau pendudukan Kerajaan Ch'in.

Setelah berguru kepada Luk Ah-Choi, Wong Fei-Hung kemudian berguru pada ayahnya sendiri hingga pada awal usia 20-an tahun, ia telah menjadi ahli perubatan dan bela diri terkemuka. Bahkan ia berjaya mengembangkannya menjadi lebih maju. Kemampuan ilmu pertahankan diri semakin sukar ditandingi ketika ia berhasil membuat jurus baru yang sangat taktikal namun cekap yang dinamakan Jurus Cakar Harimau dan Jurus Sembilan Pukulan Khusus. Selain dengan tangan kosong, Wong Fei-Hung juga mahir menggunakan bermacam-macam senjata. Masyarakat Canton pernah menyaksikan langsung dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana ia seorang diri dengan hanya memegang tongkat berjaya menewaskan lebih dari 30 orang jaguh pelabuhan berbadan tegap dan kejam di Canton.

Dalam kehidupan keluarga, Allah banyak mengujinya dengan berbagai ujian. Seorang anaknya terbunuh dalam suatu kejadian pergaduhan dengan mafia Canton. Wong Fei-Hung tiga kali menikah kerana isteri-isterinya meninggal dalam usia muda. Setelah isteri ketiganya meninggal dunia, Wong Fei-Hung memutuskan untuk hidup sendiri sampai kemudian ia bertemu dengan Mok Gwai Lan, seorang perempuan muda yang kebetulan juga ahli bela diri. Mok Gwai Lan ini kemudian menjadi pasangan hidupnya hingga akhir hayat. Mok Gwai Lan turut mengajar bela diri pada kelas khusus perempuan di perguruan suaminya.

Wong Fei-Hung meninggal dengan meninggalkan nama harum yang membuatnya dikenali sebagai manusia yang hidup mulia, salah satu pilihan hidup yang diberikan Allah kepada seorang muslim selain mati Syahid.

Sent from my iPad

Rabu, 9 Januari 2013

RASULULLAH SAW SEBAIK-BAIK TAULADAN

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah sebaik-baik tauladan bagi seluruh manusia.Keperibadian Baginda adalah yang paling baik di antara Nabi-Nabi Allah yang lain. Hanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja dalam catatan sejarah yang menjadi 'Uswatun Hasanah' (contoh tauladan) dalam segala macam aspek kehidupan. Banyak pekara yang bolehdipelajari dan dicontohi daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; di antaranya :

• Jika anda seorang yatim piatu, ayahanda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  meninggal ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  masih di dalam kandungan kemudian ibunya pula meninggal ketika Baginda hanya berusia 6 tahun.

• Jika anda seorang anak dan ibu, perhatikan ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  masih kecil di susukan oleh Halimatul Sya'diah jauh di pendalaman dengan penuh kasih sayang.

• Jika anda seorang murid dan pelajar, maka dapatkah anda bayangkan bagaimana keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  ketika Baginda  berguru dengan Jibril as.

• Jika anda seorang rakyat lemah, anda boleh mengambil tauladan dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ketika Baginda dianiaya di bawah kekuasaan orang-orang musyrikin Makkah.

• Jika anda termasuk orang yang kurang mampu dalam hal kebendaan, maka lihatlah RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam, ketika meninggalkan tempat tinggalnya dan berhijrah ke Madinah, Baginda tidak memiliki dan membawa sebarang harta.

• Jika anda seorang suami, maka bacalah sejarah dan kehidupan yang jujur dan adil terhadap suami Khadijah dan Aisyah.

• Jika anda seorang ayah terhadap anak-anak anda maka belajarlah terhadap apa yang telah di lakukan oleh ayahanda Fatimah az Zahra atau datuk Hasan dan Husein ini.

• Jika anda seorang pengajar, maka anda boleh mengambil contoh dari Baginda sewaktu  mengajar para sahabatnya di masjid.

• Jika anda seorang penasihat dan pembimbing yang dipercayai, maka dengarlah dan ikutilah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  ketika menasihati para sahabatnya di masjid Nabawi.

• Jika anda seorang pemuda, maka selamilah perjalanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  sebagai seorang penggembala haiwan ternak di Makkah.

• Jika anda seorang peniaga yang melakukan perjalanan membawa barang dagangan, maka perhatikanlah keadaan pemimpin kafilah yang hendak menuju ke Basrah itu.

• Jika anda seorang hartawan, tauladanilah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ketika Baginda berdagang dengan membawa barang dagangan antara Hijaz dan Syam, serta bagaimana menguasai perbendaharaan Bahrain.

• Jika anda seorang pemenang, anda juga boleh mengambil contoh dari kehidupan RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam, ketika Baginda meraih kemenangan melawan musuh-musuhnya pada perang Badar, Hunain dan fathu Makkah.

• Jika anda seorang yang kalah, ambilah contoh dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ketika Baginda sedang berperang pada perang Uhud.

• Jika anda seorang pemimpin contohilah Baginda tetap berada di tengah-tengah para sahabat yang terbunuh dan yang dalam keadaan lemah akibat kecederaan.

• Jika anda seorang pemerintah maka ikutilah sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan perbuatan-perbuatan Baginda ketika menjadi pemimpin orang Arab, Baginda menguasai beberapa negeri dan menjadikan pemimpin-pemimpin mereka tunduk kepada Baginda.

• Jika anda seorang hakim, maka perhatikan kearifan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallammenangani permasalahan ketika para pembesar Makkah saling berselisih dan hampir berperang untuk merebut meletakkan hajar aswad pada tempatnya, lihatlah bagaimana Baginda menyelesaikan perkara tersebut dengan penuh kebijaksanaan ketika Baginda   berada di halaman masjid Madinah, Baginda berlaku adil,  tidak pilih kasih dan menyamakan hak antara orang kaya dan miskin.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam  adalah contoh peribadi agung yang telah hadir di dunia ini. Bagaimanapun situasi yang dialami dan lalui, baik siang atau malam, maka kita seharusnya mencontohi kehidupan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagai petunjuk dan contoh tauladan terbaik. InsyaAllah kita akan dapat memperbaiki segala urusan yang membingungkan dan seterusnya menceriakan masa depan kehidupan kita.



Sent from my iPad

KEHEBATAN RASULULLAH SAW DIAKUI BARAT

.

Antara tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallamialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.

.

Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.

.

Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya,

"Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam." (Riwayat Bukhari)

.

Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.

.

Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, 'Wahai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.'

.

Lantas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam segera menjawab,

"Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya."  (Riwayat Ahmad)

.

Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada kita semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada juga menyelitkan unsur pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila mendidik sahabat.

.

Selain itu, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui dialognya dengan sahabat ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu kita patuhi ?

.

Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki, fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah SWT pesan;

 مَّا أَفَاءَ اللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٧

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya." (Surah al-Hasyr ayat 7)

.

Sebenarnya, keunggulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terus menerus mencatat reputasi terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.

.

Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, "Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya."

.

Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui, kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa saja 'terlipat dan tersembunyi'. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok sedalam-dalam agar tidak kelihatan.

.

Satu lagi pandangan ikhlas ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, "Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca 'Buku Alam' dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Illahi."

.

Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun.

.

Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di puncak tinta kajian mereka.

.

Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.

.

Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati, dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka bumi ini turut merasainya.

Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat dilimpahi bahagia.



والله أعلم بالصواب

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)



Sent from my iPad