Selasa, 14 Julai 2015

#Syawal Datang Lagi, Menggamit Kenangan Manis Bersama Arwah Ayahanda


Assalamualaikum... Salam Ramadhan Kareem.

Lama dah penulis tidak menjengah blog ini. Hari ini, hati tercuit untuk menjengah, menukilankan sedikit catatan kehidupan.


Tinggal beberapa hari lagi Ramadhan yg penuh keberkatan ini akan meninggalkan kita. Umat Islam di seluruh dunia akan meraikan kehadiran Syawal dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.


Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keghairahan untuk sama-sama bergembira merayakan Aidilfitri kian pudar di lubuk hati. Tambahan pula, salah seorang dari 2 insan yg benar² menyayangi dan memahami diri penulis, dah kembali ke sisiNya.


Arwah abah, Amin Bin Yusuf telah 7 tahun meninggalkan kami. Pergi untuk selama-lamanya. Yang tinggal cuma kenangan-kenangan indah.


Antara kenangan manis penulis bersama 2 insan teristimewa itu adalah ketika Ramadhan melabuhkan tirainya.


Ketika hayatnya, penghujung Ramadhan begini merupakan saat yg sibuk bagi arwah yang telah ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam untuk mengutip zakat daripada penduduk kampung.


Sehinggalah ke malam raya, kalangan anak kampung yg pulang dari perantaun datang ke rumah untuk membayar zakat fitrah. Selalunya, resit yang dibekalkan oleh Jabatan Agama sebagai bukti pembayaran zakat habis.


Tak tahu kenapa ramai memilih untuk membayar zakat fitrah dengan arwah sedangkan terdapat beberapa orang lagi amil yang ditauliahkan di kampung penulis.


Melepasi jam 1 pagi, menjadi rutin penulis sejak arwah menjadi amil untuk membantu beliau mengira jumlah keseluruhan kutipan seterusnya membahagikan peratusan mengikut syarat yg ditetapkan oleh hukum syara'.


Dari sepuluh zuriatnya, arwah memilih penulis untuk melakukan tugas tersebut. Katanya kiraan penulis tepat. Beliau tak perlu ke pejabat agama berulang kali ketika proses menyerahkan kutipan.


Cuma pergi ke Bank utk memasukkan wang sebelum menyerahkan buku resit kutipan zakat dan resit bank ke pejabat agama untuk diteliti dan disahkan.


Itu antara coretan pendek tentang kenangan indah malam raya penulis dan arwah. Tiada yg lebih indah selain melihat senyuman arwah ABAH dan MAK penghujung Ramadhan.


7 tahun senyuman itu telah hilang. Senyum ibu pun tak seindah ketika arwah masih ada.


Apapun. penulis bersyukur... Ibu masih ada... Allah masih memberi peluang untuk kami 9 beradik meraikan pagi Syawal dengan mencium kedua tangannya, mengucup dahi & pipinya, mohon diampunkan dosa dan dihalalkan susu dan segala susah payahnya membesarkan kami...


Selamat menyambut Aidilfitri buat semua.

Ahad, 4 Januari 2015

#MaulidurRasul: Kenali Rasulullah ﷺ


Nama: Muhamad bin Abdulllah bin Abdul Muthalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab 

Nama-nama lain : 
Ahmad, Al-Mahi, Al-Hasyir, Al-A’qib, Al-Mutawakkil.

Nama-nama Gelaran : 
• Abu Qasim, Al-Amin.

Bangsa : 
• Arab Quraisy

Agama : 
• Islam

Tarikh Lahir : 
• Hari Isnin
• 12 Rabi’ul Awal Tahun Gajah ( Riwayat lain 9 Rabiu’l Awal )
• Bersamaan 20 April 571 Masihi.

Bidan Nabi : 
• Ummu Mas’ud.

Tempat Lahir : 
• Di Syua’ib Bani Hashim di Makkah.

Bilangan Adik-beradik : 
• Anak tunggal [ anak yatim ].

Nama Ibu : 
• Aminah binti Wahab bin Abdu Manaf bin Zahrah bin Kilab.

Nama Ibu Susuan : 
• Thuwaibah [ hamba Abu lahab ], Halimah bt. Abu Zuaib as-Sa’diah.

Nama-nama Pengasuh : 
• Aminah, Thuwaibah, Halimatun as-Sa’diyah, Barakah al-Habsyiyyah digelar Ummu Aiman, hamba perempuan bapa Rasulullah SAW.

Nama-nama Isteri : 
• Khadijah bt. Khuwailid, Saudah, A’isyah bt. Abu bakar, Hafsah bt. Umar, Zainab bt. Khuzaimah, Hindun bt. Abi Umaiyah, Zainab bt. Jahsyi, Juwairiah bt. Al-Haris, Ramlah bt. Abi Sufian, Sufiah bt. Huyi, Maimunah bt. Al-Haris.

Nama-nama Anak :
• Qasim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Ummu Kalsum, Ruqayyah.

Nama-nama Bapa Saudara : 
• Hamzah, Al-Abbas, Abu Talib, Abu Lahab, Az-Zubir, Abdul Ka’bah, Al-Muqawim, Dhirar, Qusam, Al-Mughirah, Al-Ghaidak.

Nama-nama Emak Saudara Sebelah Ibu Dan Bapa : 
• Sufiah, A’tikah, Barrah, Urwa, Umaimah, Ummu Hakim Al-Baidha’.

Bapa Saudara Dan Emak Saudara Yang Memeluk Islam : 
• Hamzah, Al-A’bbas.
• Sufiah, Urwa.

Nama-nama Hamba Sahaya Perempuan : 
• Mariah al-Qibtiah, Raihanah.

Nama-nama Hamba Lelaki : 
• Aslam, Abu Rafi’, Sauban, Abu Kabsyah Sulaim, Syurqan, Yasar Nubi.

Nama Anak Angkat : 
• Zaid bin Harithah bin Syarahil.

Nama-nama Khadam : 
• Anas bin Malik, Abdullah bin Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amir, Asla’ bin Syarik, Bilal bin Rabah, Abu Zar al-Ghiffari.

Setiausaha Nabi Sebagai Pencatat Al-Quran : 
• Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Zubir, Amir, Amru Al-‘As, Zaib bin Thabit, Muawiyyah, Ubai bin Kaa’b, Abdullah bin Rawa.

Setiausaha Sulit : 
• Huzaifah b. Yaman.

Sifat Fizikal : 
• Badan tinggi sedang.
• Rambut ikal mayang.
• Muka bulat, putih kemerahan, mata hitam gelap.
• Bulu dada nipis, keseluhan badan tidak berbulu.
• Bulu mata panjang, suara kasar, gigi hadapan renggang.

Sifat-sifat Yang Wajib Bagi Seorang : 
• Siddiq [ benar ], Amanah [ jujur], Tabligh [ menyampaikan ], Fatanah [ bijkasana ].

Sifat-sifat Yang Mustahil:
• Kazib [ dusta ], Khianah [ pecah amanah], Kitman [ menyembunyikan ], Baladah [ bodoh].

Sifat-sifat Yang Harus : 
• Makan, minum, tidur, berkahwin, sakit, demam.

Pendidikan : 
• Al-Ummiy [ tidak pandai membaca dan menulis ].

Pekerjaan : 
• Gembala Kambing.
• Berniaga.

Perlantikan Menjadi Nabi dan Rasul 
 • Umur 40 tahun di Gua Hira’.

Guru Pertama : 
• Malaikat Jibril ‘Alaihi Salam.

Tugas Utama : 
• Menyeru manusia menyembah Allah SWT.

Jawatan Yang Diamanahkan :
• Menjadi Nabi.
• Menjadi Rasul kepada umat manusia dan jin .
• Ketua Pemerintah kerajaan Islam di Madinah.

Keistimewaan : 
• Sebaik-baik makhluk yang dicipta.
• Mempunyai mukjizat terbesar dan terutama Al-Qur’an.
• Penghulu dan penutup segala Nabi dan Rasul [ Khatamun Nabiyyin ].
• Manusia pertama masuk Syurga.

Gelaran Dari Kalangan Nabi : 
• Ulul ‘Azmi أولوالعزم [ banyak menempuhi ujian berat daripada Allah ].
• صلى الله عليه وسلم

Kenangan Manis :
• Dibawa melancong dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Kenangan Pahit : 
• Diusir oleh penduduk Ta’if.
• Semasa peperangan Uhud.

Pengalaman Pertama Menerima Wahyu
• Turunnya al-Quran Ayat Iqra’ [1-5 ayat, di Gua Hira’] pada 12 Rabiu’l Awal.

Pengalaman Yang Paling Menakutkan : 
• Ketika melihat rupa asal Malaikat Jibril a.s. di ruang angkasa.

Hijrah ke Madinah 
• Umur 53 tahun ditemani Abu Bakar as-Siddiq, sampai Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 24 September 622M.

Orang Yang Pertama Didakwah Dan Memeluk Islam : 
• Lelaki Dewasa : Abu Bakar as-Siddiq.
• Perempuan Dewasa : Khadijah [ isteri Nabi ].
• Kanak-kanak : Ali bin Abu Talib.
• Hamba : Zaid bin Harithah.

Sahabat-sahabat Kanan :
• Abu bakar as-Siddiq.
• Umar al-Khattab.
• Uthman bin Affan.
• Ali bin Abu Talib.

Mertua Dan Menantu Dari Kalangan Sahabat : 
• Abu Bakar dan Umar [ mertua ].
• Uthman dan Ali [ menantu ].

Berita Yang Mengembirakan : 
• Keislaman Umar bin al-Khattab.

Berita Yang Menyedihkan : 
• Kematian Khadijah bt. Khuwailid [isteri Nabi].
• Abu Talib bin Abdul Mutalib [bapa saudara Nabi].
• Hamzah bin Abdul Mutalib [bapa saudara Nabi].

Peristiwa Yang Mengembirakan : 
• Pembukaan Kota Mekah.

Penglibatan Dalam Peperangan : 
• Peperangan Badar , Uhud , Khandak , Khaibar , Al-Fath , Hunain , Tabuk.

Nama Tempat Yang Pernah Dilawati : 
• Syam , Baitul Maqdis [ Palestin ].

Catat Rekod Dunia : 
• Pengembaraan yang jauh dari bumi ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha bermula selepas waktu Isya’ hingga sebelum masuk waktu Subuh [ Isra’ & Mi’raj ].

Isteri Yang Paling Disayangi : 
• ‘Aisyah [ ketika kesemua isteri-isteri Nabi masih hidup ].

Anak Yang Paling Disayangi : 
• Fatimah.

Cucu Yang Paling Disayangi : 
• Hassan bin Ali.
• Hussin bin Ali.

Sahabat Yang Paling Disayangi : 
• Abu Bakar.  

Nasihat Nabi : 
• “Jadikanlah kamu sebagai orang musafir yang sedang dalam perjalanan.”

Wasiat Nabi : 
• Dalam Khutbah Wida’ [ Khutbah Selamat Tinggal ] “Aku tinggalkan dua perkara , kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.”

Syafaat Nabi : 
• Kepada umat yang sentiasa berselawat ke atasnya.

Tarikh Wafat : 
• Waktu pagi hari Isnin.
• 12 Rabiu’l Awal 11 H bersamaan 8 Jun 632M
• Umur 63 tahun , 4 hari.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )